Tuesday 7 April 2009

Selamat Tinggal... Selamat Maju Jaya... Pohon Maaf Segala Kesalahan Saya

Salam untuk semua rakan-rakan kerja yang amat saya hormati...

04-April-2009, genaplah 15 Tahun saya berkhidmat di Syarikat ini dan saya akan meninggalkan Syarikat ini sebelum akhir May 2009 melalui Skim Penamatan/Perpisahan Sukarela.

15 tahun adalah suatu masa yang panjang tapi 15 tahun juga adalah satu jangkamasa yang singkat bila mengenangkan persahabatan yang telah saya bina bersama anda semua kawan-kawan saya...

Secara peribadi, saya sedih untuk meninggalkan Syarikat ini yang banyak memberikan kenangan pada saya.. Bagi saya, jasa anda semua terlalu berharga, setiap individu di Syarikat ini, yang banyak menolong saya, mengajar saya, menegur saya, memimpin saya, memberi tunjuk ajar kepada saya, memberikan idea, membuka minda, membuatkan saya berfikir, dan seterusnya membantu diri saya menjadi insan seperti ini... Jasa anda semua akan saya kenang dan saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana tidak jemu-jemu untuk berkawan, memberi teguran & tunjuk ajar dan melayani kerenah saya...

Di kesempatan ini, saya ingin memohon banyak-banyak maaf dari apa jua kesalahan yang mungkin telah saya lakukan, keterlanjuran kata, gurau & senda, dan mungkin melukai hati & perasaan anda semua, secara sengaja atau tidak sengaja. Maafkan saya insan yang lemah ini... Maaf juga saya pohon atas apa-apa saja kritikan dan komen saya yang mungkin tidak mudah diterima oleh sesetengah kawan-kawan. Saya sendiri tidak pernah menyimpan apa-apa dendam atau perasaan tidak baik terhadap sesiapa saja keluarga Syarikat ini ... Setiap apa yang tidak baik yang berlaku atau yang telah kita lalui, saya hanya menganggapkan ia hanya sebagai lumrah hidup persahabatan dan dalam pekerjaan yang kadang-kadang ada selisih faham dan prasangka kurang baik -- lagikan lidah boleh tergigit, inikan pula kita sesama manusia -- semua apa-apapun saya tidak menyimpannya dalam diri ini. Sebaliknya, setiap apa yang berlaku saya ambil ia sebagai positif dan ianya menjadi tunjuk ajar dan pengajaran berharga untuk hidup saya seterusnya...

Ramai kawan-kawan bertanya... Apakah rancangan saya selepas ini... Saya tidak dapat menjawab soalan ini buat masa ini... Ada beberapa perancangan -- Business, Bekerja kembali, Menulis, Mengajar / Lecturer / Motivator, dan lain2 - - - tapi saya belum putuskan lagi yang mana terbaik -- semuanya bergantung kepada keadaan semasa... InsyaALLAH kemungkinan besar saya masih kekal di Kuantan sebagai tempat kediaman kekal saya, walaupun mungkin perlu bergerak ke beberapa tempat buat seketika sebelum bertapak baik dan kekal...

Saya sentiasa percaya, setiap insan di dunia ini ada kelebihan & kekuatan sendiri... Kita hanya perlu tahu apa kekuatan yang kita ada, dan seterusnya menggunakan kekuatan diri untuk bekerja & berusaha dengan lebih kuat dan gigih untuk mendapat kejayaan cemerlang dalam apa juga perkara yang kita usahakan... Kita perlu ikhlas dengan diri kita sendiri mengakui dan memperbaiki kelemahan yang ada, merubah diri untuk kebaikan dan InsyaALLAH, kita akan terus dapat lebih maju dalam hidup ini... Saya sentiasa mengingatkan diri saya, kita lakukan semua ini untuk kebaikan diri, keluarga dan orang-orang yang kita sayangi...


Saya percaya, setiap perkara yang dimulai dengan Bismillah dan doa, setiap niat yang murni, setiap kerja yang dilakukan dengan jujur & penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh, setiap usaha yang dibuat dengan baik dan tekun agar mendapat keputusan yang terbaik, dan seterusnya berserah kepada Tuhan dengan Doa & Tawakkal -- InsyaALLAH akan mendapat berkat, diberikan nikmat dan rezeki yang berkekalan oleh ALLAH, dan seterusnya rezeki yang diberkati, halal dan berkekalan untuk kita, keluarga dan semua orang-orang yang kita sayangi... INSYAALLAH...

Saya sebenarnya amat bersyukur dengan apa yang berlaku dan yang saya dapat ketika ini... Saya sentiasa percaya ----- Permulaan setiap perkara yang Hak itu ialah Kesukaran atau perkara yang tidak disukai... Dan Kemuncaknya adalah Kejayaan ---- Tuhan telah memberikan saya cabaran untuk hidup saya ketika ini, dan kesukaran ini yang sebenarnya amat kecil jika dibandingkan dengan banyak lagi perkara, saya anggap ianya hanya dugaan sementara dari ALLAH dan adalah satu jalan baru dan detik permulaan untuk saya mencapai Kejayaan yang lebih Hak untuk saya demi keluarga dan orang -orang yang saya sayangi. Saya hanya perlu tempuhi dugaan ini dengan penuh tabah dan berusaha lebih gigih dan berserah kepadaNYA setelah sedaya usaha saya lakukan..

Kalau andainya bertemu, bila-bila masa sahaja di luar sana di mana sahaja, jika sudi dan tidak jijik, tegurlah saya, saya sentiasa menganggap anda semua adalah rakan saya... Prinsip hidup saya, semua manusia adalah kawan saya, tidak kira siapa saja, apa saja pangkat – mereka semua bagi saya adalah mempunyai kelebihan sendiri sebagai kawan --- dan saya tidak pernah malu berkawan dengan sesiapa saja dan juga belajar dari mereka apa-apa yang baik yang boleh saya pelajari untuk membantu memajukan diri saya sendiri dalam apa segi sekalipun --- Agama, Duniawi, Ilmu & Intelektual, Minda yang Baik, Fisikal yang baik, dan sebagainya...

Saya mengambil kesempatan ini sekali lagi untuk mengucapkan Selamat Tinggal kawan-kawan... Selamat Maju Jaya kepada anda semua... Pohon Maaf segala kesalahan saya...

Wassalam..

Thanks & Best Regards...
Kamal KAY

Personal email:
kay_doc83@yahoo.com
Personal blog:
www.sidekicktalk.blogspot.com
Mobile: 012 987 9015